SinopsisPada tahun 1934, Kampung Sungai Ramal dikunjungi oleh anggota tentera British yang bertujuan untuk mencari anak-anak muda tempatan yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung termasuk Adnan Bin Saidi berminat menjadi tentera, namun ibubapa beliau tidak merestui kemahuannya itu. Adnan nekad, bersama beberapa orang rakan, mereka keluar dari kampung dan menuju ke kem latihan ketenteraan di Port Diskson. Di situ mereka mendaftarkan diri dan menjalani latihan fizikal dan mental bagi melayakkan diri untuk menjadi seorang tentera. Keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Adnan melayakkannya terpilih sebagai rekrut terbaik dan seterusnya beliau diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Dalam waktu yang singkat, Adnan telah menerima kenaikan pangkat menjadi Kolor Sarjan pada tahun 1937. Pada tahun yang sama beliau turut terpilih menyertai upacara pertabalan King George VI di London. Tidak lama kemudian, Adnan dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi seorang Leftenan. Ketika Perang Dunia Kedua, Leftenan Adnan Saidi telah terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh.
0 comments
Post a Comment